Sabtu, 29 Januari 2011

Askar Timbalan Setia


Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah satu pasukan tentera yang ditubuhkan semasa pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar ibni Daeng Ibrahim, Sultan bagi jajahan takluk Johor Darul Ta'zim. Sultan Sir Abu Bakar ibni Daeng Ibrahim seorang berfikiran jauh dan telah berjaya memodenkan Negeri Johor. Baginda juga telah berbaik-baik dengan Ratu Great Britain Queen Victoria ketika itu sebagai helah untuk mengelakkan campur tangan dan penjajahan Inggeris di negeri Johor dan menghalang cita-cita British untuk menjajah negeri Johor.
Johor adalah negeri dalam Tanah Melayu yang pertama memiliki pasukan tentera modennya sendiri dan satu-satunya institusi pasukan tentera yang tertua dalam Malaysia dibiayai oleh kerajaan negeri yang masih kekal hingga kini.
Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditubuhkan pada 1885 dengan kompeni percubaan 60 anak Melayu Johor dan 20 orang askar Punjabi. Anggota Melayu dilatih sebagai askar Infantri sementara anggota Punjabi dilatih sebagai anggota pasukan artileri. Seorang pegawai tentera Inggeris bernama Kapten Newland dilantik sebagai pemerintah pasukan. Orang Melayu yang pertama sekali diberikan tauliah sebagai pegawai ialah Kapten Daud bin Sulaiman. Askar Timbalan Setia Negeri telah diberi panji-panji DiRaja pada 11 Mei 1916.

Perang Dunia Pertama

Askar Timbalan Setia Johor terlibat dalam mematahkan pemberontakan oleh askar-askar India dari pasukan 5th Light Infantry di Singapura dalam tahun 1915. . Askar Timbalan Setia menangkap askar-askar yang memberontak yang menyeberang ke Johor merentasi Selat Johor semasa melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa British.
Semasa Perang Dunia Pertama, pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor menghantar kontinjen seramai 2 orang pegawai berserta 100 orang anggota ke Berek Tanglin di Singapura untuk membantu mengawal keselamatan di Singapura. Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri juga membuat tugas-tugas membantu kawalan tawanan perang ke atas tahanan Jerman di Singapura. Pasukan ini juga memberi bantuan menjaga keselamatan kawasan di Pulau Belakang Mati (kini Pulau Sentosa), Singapura hingga tamat Perang Dunia Pertama.
Selain memberikan bantuan kawalan keselamatan di Singapura, Pasukan Askar timbalan Setia Johor juga memberikan kawalan keselamatan laluan perhubungan di kawasan-kawasan Mersing, Kluang dan Batu Pahat termasuk pangkalan udara di Kluang (kini menjadi pangkalan utama Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia).

Perang Dunia Kedua

Askar Timbalan Setia Johor tidak dikerahkan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu di bawah pimpinan Lt. Jen. A. E. Percival sebagai sebahagian daripada pasukan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu. Apabila pasukan Tentera Jepun memasuki negeri Johor, khususnya bandar Johor Bahru, pasukan Askar Timbalan Setia tidak memberikan sebarang tentangan atau terlibat dalam pertempuran menentang Tentera Jepun.

Cadangan Pemansuhan Askar Timbalan Setia

Kerajaan pusat Malaysia pernah dalam tahun 1994 mencadangkan pembubaran pasukan Askar Timbalan Setia berikutan krisis berkaitan isu Kekebalan Raja-Raja Melayu dan satu Rang Undang-Undang di panggil Johore Military Forces (Disbandment And Repeal) Bill 1994 telah digubal untuk dibahaskan di Parlimen.
Tetapi Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim negara ketika itu menasihatkan Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail di Istana Bukit Serene bahawa Askar Timbalan Setia Negeri Johor diwujudkan jauh lebih dahulu daripada Rejimen Askar Melayu Diraja dan penubuhan serta pengekalan pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah sebahagian daripada hak dan keistimewaan Sultan dan rakyat Negeri Johor. Dengan demikian, Tun Salleh Abbas berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan Malaysia tidak mempunyai hak untuk membatalkan keistimewaan hak tersebut tanpa persetujuan Sultan Johor. Pandangan Tun Salleh Abbas disokong oleh Neil Lawson, Q.C. yang menjadi Penasihat Perundangan kepada Raja-Raja Melayu semasa perbincangan menuntut kemerdekaan. Sehubungan itu, rang undang-undang ini tidak diambil tindakan dan terkubur begitu sahaja.
Antara mereka yang telah berkhidmat dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah
  • Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor
    Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail menerima latihan ketenteraan dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Baginda juga merupakan penyandang jawatan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
  • Tun Hussein OnnPerdana Menteri Malaysia
    Tun Hussein Onn juga pernah menyertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Rejimen Hydrabad ke-19 di India.
  • Jeneral (B) Tun Ibrahim bin Ismail - bekas Panglima ATM
    Jeneral (B) Tun Ibrahim Bin Ismail pernah menyertai dan berkhidmat sebagai kadet dalam Askar Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Rejimen Hydrabad ke-19 di India.
  • Ungku Ahmad bin Abd Rahman
    Salah seorang daripada 3 orang yang dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India
  • Dato Onn Jaafar
  • Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid
    Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid, bapa kepada Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid pernah menjadi seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor dan mencapai pangkat Mejar dalam tahun 1926.

Kejatuhan Empayar Melaka. Pengajaran dan yang Tersirat.


Melaka sebelum ditawan Portugis atau Peringgi ialah sebuah pusat perdagangan yang maju di Asia Tenggara. Semua masyarakat Melayu bangga dengan Melaka kerana pernah unggul dan mencapai kemuncaknya sebelum ditawan Feringgi atau Portugis. Kehebatan Hang Tuah dan Tun Perak, pencetus wawasan empayar Melaka, memeriahkan lagi sejarah kegemilangan kesultanan Melayu Melaka.
Sejarah Melaka bermula dengan kedatangan Parameswara atau Sang Nila Utama dari Temasek (Singapura) untuk mencari penempatan baru. Melaka dinamakan sempena pokok Melaka yang diguna Parameswara untuk berteduh. Kerajaan Melayu Melaka akhirnya berjaya dibentuk oleh Parameswara, kesenimbungan dari kerajaan Melayu di Singapura.
Kota Melaka berjaya menarik pedagang luar datang berniaga termasuk utusan Maharaja China pada tahun 1405. Melaka berjaya berkembang sebagai pusat perdagangan sehingga Maharaja Cina mengiktiraf Parameswara sebagai pemerintah dan negeri Melaka sebuah kerajaan yang sah. Parameswara atau nama Islamnya Raja Iskandar Shah akhirnya berjaya menjadikan Melaka sebuah pusat perdagangan yang maju dan mempunyai hubungan luar dengan Cina.
Ringkasan pemerintahan raja-raja Melaka.
1400 – 1414: Raja Iskandar Shah (nama Islam Parameswara)
1414 – 1424: Raja Megat Iskandar Shah
1424 – 1444: Sultan Muhammad Shah
1444 – 1445: Sultan Ibrahim/Sultan Abu Sayid – dibunuh oleh pembesar Melaka akibat rasa tidak puas hati dengan pemerintahannya.
1445 – 1459: Raja Kassim/Sultan Muzaffar Shah. Melaka pernah diserang sebanyak 2 kali oleh Siam. Dipatahkan oleh Tun Perak dan Tun Hamzah.
1459 – 1477: Sultan Mansur Shah – zaman kemuncak Melaka. Kegemilangan Tun Perak, Hang Tuah dan Sultan Mansur Shah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po.
1477 – 1488: Sultan Alauddin Ri’ayat Shah
1488-1511: Sultan Mahmud Shah
Melaka mencapai zaman kemuncak kuasa ketika di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah dan empayar Melaka meliputi Semenanjung Melayu, Singapura dan Sumatera. Tun Perak sebagai bendahara pada ketika itu menjadi tulang belakang dan pencetus wawasan empayar Melaka.
Kejatuhan Melaka bermula semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Beliau naik takhta setelah ayahandanya Sultan Alauddin Riayat Shah mangkat pada usia muda. Ketika itu Hang Tuah dan Tun Perak sudah tua. Ditambah lagi dengan sikap Sultan Mahmud Shah yang tidak elok, sedikit sebanyak menyumbang kemerosotan pemerintahan Melaka ketika itu. Kedatangan Portugis ke Melaka pada pada tahun 1509 tidak disenangi banyak pihak termasuk pedagang-pedagang Arab dan India Muslim. Ini ditambah lagi dengan sikap buruk orang-orang Portugis yang suka membuat kacau.
Menurut sumber Sejarah Malaysia, kedatangan Portugis awalnya dilayan dengan baik tetapi keadaan berubah apabila orang-orang India dan Arab mendesak sultan dan bendahara agar tidak mempercayai pihak Portugis. Mereka mendakwa bahawa pihak Portugis tidak akan berpuas hati dengan hanya sekadar berkongsi keuntungan perniagaan tetapi akan merampas keseluruhannya untuk diri mereka sendiri. Justeru itu, satu perancangan telah dibuat untuk menangkap orang-orang Feringgi atau Portugis dan menyerang angkatan laut mereka.
Bagaimanapun, perancangan tersebut telah terbongkar apabila seorang gadis Jawa yang sedang dilamun cinta dengan salah seorang kelasi Portugis telah memaklumkan kepada mereka. Setelah mendapati rancangan asal telah terbongkar, pihak Melayu bertindak menangkap Ruy de Aranjo, salah seorang nakhoda Portugis bersama dua puluh kelasinya yang tidak bersenjata ketika sedang membeli barang keperluan. De Sequeira gagal membebaskan tahanan tersebut dan terpaksa berlayar meninggalkan mereka.
Pada tahun 1511, satu armada Portugis kembali dan menyerang Melaka setelah beberapa siri rundingan awal gagal. Asal sebab Portugis menyerang Melaka kerana penawanan orang-orang Portugis dan kepentingan Melaka kepada mereka setelah Goa, India. Serangan pertama Portugis gagal, tetapi berjaya menawan Melaka pada serangan ke-2. Sultan Mahmud Shah telah lari ke Pahang dan kemudiannya menetap di Pagoh.
Bagaimana Melaka yang begitu kuat telah kalah dengan mudah selepas serangan kedua Portugis? Mengikut sejarah peperangan seperti U.S.yang menawan Iraq, strategi peperangan yang baik tidak akan berjaya dengan mudah jika tidak dibantu dari dalam. Dalam hal ini, tentunya Melaka mempunyai pengkhianat/pembelot yang berpaling tadah.
Penulis yakin bahawa ada fakta sejarah yang telah disorokkan. Ada pihak yang tidak mahu masyarakat Melayu Islam tahu sejarah sebenar. Bangsa Melayu sememangnya lebih hebat dari bangsa Feringgi dari segi peralatan perang dan meriam. Mana mungkin Melaka yang pernah digelar ‘Venice of East’ ditawan dengan mudah?
Ingat lagi Melaka pernah diserang oleh angkatan laut dan darat Siam ketika Sultan Muzafar Shah memerintah? Dengan kekuatan armada laut dan darat Melaka, dipimpin oleh Tun Perak, Tun Hamzah (Tok Bongkok) dan Hang Tuah, mereka berjaya menggagalkan serangan Siam. Begitu hebatnya armada laut kita sehingga tidak dapat berfungsi menghidu kehadiran Portugis malah menhalang serangan kapal Portugis. Mana menghilangnya armada laut Melaka ketika Melaka diserang? Ada pendapat mengatakan mereka berpaling tadah dan bersama-sama menyerang Melaka.
Kesian Melaka, kesian Raja Mahmud Shah dan memang patut beliau mendapat balasan demikian.. Penulis tidak berkata demikian! Apapun semuanya telah berlaku dan pengajaran yang pahit terpaksa kita telan melihat empayar Melaka jatuh dalam sekelip mata. Bayangkan kesannya setelah habis perang. Harta benda dirampas, rakyat menderita dan dibunuh, perempuan/gadis Melaka dijadikan korban perang dan banyak lagi kesan yang boleh kita fikirkan apabila perang berlaku dan berakhir..
Mengikut sejarah ‘rasmi’, empayar Melaka mudah tewas kerana Portugis/Barat lebih hebat. Takkan hendak berlawan hanya bekal keris dan lembing? Melayu tiada baju besi, tiada meriam atau senjata api.. Itu kata masyarakat Melayu kita sendiri yang buta sejarah dan meperlekehkan bangsa sendiri.. Kaji dahulu sebelum ketawa!
Melayu ketika itu sudah pandai membuat baju besi.. Melayu juga hebat dengan peralatan perang.. dengan perisai baju besi, pemuras, terakol, istinggar dan meriam (Lela Rentaka).
Tidak masuk akal jikalau Melaka sebuah pelabuhan perdagangan serata dunia sebelah Asia tidak terdedah kepada teknologi terkini. Kajian yang dijalankan menunjukkan kerajaan-kerajaan Melayu nusantara adalah pembuat dan pengeluar senjata-senjata api terbaik di dunia menewaskan Belanda, Portugis serta Sepanyol.
Catatan pengembara dan pedagang awal Eropah, India dan Cina juga menunjukkan kerajaan-kerajaan nusantara yang mengelilingi kerajaan Melayu Melaka ketika itu adalah pengeluar utama meriam-meriam hebat dan berkuasa di dunia seperti Kesultanan Brunei, Kesultanan Pattani, Kesultanan Sulu dan beberapa kerajaan Melayu lain di Asia Tenggara.
Portugis sebenarnya dibantu oleh kerajaan-kerajaan kecil dari Siam, Jawa dan Sumatera yang tidak berpuas hati dengan Melaka dari dahulu lagi. Ditambah dengan askar upahan dari Goa, Siam dan Jawa serta bantuan pembelot dari dalam iaitu pedagang Jawa dan Cina, menambah kejayaan Portugis menawan Melaka. Siapa tidak kenal dengan pembelot Melaka, saudagar Jawa yang bernama Utimutiraja. Disebabkan rasa tidak puas hati dan inginkan emas dalam istana, dia mengarahkan hamba-hambanya yang seramai 5000 orang memihak kepada Portugis. Pendapat mengatakan Utimutiraja akhirnya dibunuh oleh Portugis kerana bimbang beliau akan belot kali ke-2.
Sultan Mahmud Shah juga tidak mementingkan kesejateraan rakyatnya. Semua perempuan cantik hendak dipunyainya.. Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan, telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan telah murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah
Mengikut penulisan Kassim Ahmad tentang sejarah Melaka dalam buku ” Kekerasan Dalam Sejarah”, hampir semua sultan Melaka mempunyai isteri dalam kalangan anak perempuan bendahara, termasuklah Sultan Iskandar, Sultan Muhammad Syah, Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mansur Syah. Atas sebab inilah, perbuatan Bendahara Tun Mutahir telah berlawanan dengan amalan kebiasaan yang mana beliau seharusnya memaklumkan/mempersembahkan anak perempuannya, Tun Fatimah kepada Sultan Melaka terlebih dahulu.
Kemuncak perselisihan antara Bendahara Wan Mutahir dengan Sultan Mahmud Shah berlaku akibat difitnah oleh Datuk Shahbandar Mandeliar, Si Kitol dan Laksamana Khoja Hassan. Apabila kedatangan Portugis ke Melaka dengan tujuan berdagang, mereka telah disambut baik oleh Bendahara dan ini tidak disenangi oleh Datuk Shahbandar Mandeliar. Mandeliar berjaya menyebar fitnah kononnya Bendahara Melaka mahu mengambil alih takhta Sultan Melaka dan menyebabkan Sultan Mahmud Shah tidak berfikir panjang dan mengutuskan Tun Sura membunuh Tun Mutahir sekeluarga kecuali Tun Fatimah dan Tun Hamzah (masih kecil).
Akibat dari perbalahan dalaman ini menyebabkan sebahagian pedagang-pedagang tidak puas hati dan marah. Keadaan Melaka bertambah kacau apabila Portugis datang buat kali ke-2 dan melancarkan perang ke atas Melaka. Kekalahan Melaka ditangan Portugis banyak disebabkan oleh faktor dalaman.
Akibat perbuatan Sultan, fitnah dan rasa iri hati serta tamak menonjolkan watak pelaku seperti Mandeliar, Si Kitol dan Utimutiraja sebagai pembelot.. Mereka inilah yang membantu Portugis masuk dari pintu belakang menyerang Melaka dan tidak dijangka oleh pengawal-pengawal kota Melaka. Ibarat gunting dalam lipatan, diam-diam ada musuh dikalangan kita!

MELAYU PERLU BERSATU

Dalam perjuangan kita perlu semangat dan azam. Dalam semangat kita perlu ada cita-cita. Tanpa cita-cita kita tidak akan ada matlamat. Hari ini kita rasa kita gagah kerana kehebatan orang terdahulu yang menghadiahkan satu pusaka cukup bernilai kepada kita. Namun hari ini juga kita terleka dan akhirnya kita semakin tertindas dan ditindas tanpa kita sedari. Ke mana arah yang sepatutnya dituju, mana arah yang menjadi penentu perjuangan orang-orang Melayu?

Barangkali sudah tiba masanya untuk semua pemimpin politik Melayu bersama-sama memikirkan mengenai survival orang Melayu dengan mengambil pendekatan merentasi sempadan politik yang selama ini telah menjadi pemisah kepada penyatuan bangsa. Percayalah, hari ini sebagai anak bangsa melayu yang hidup di bumi bertuah Malaysia ini kita harus berani untuk terus menjulang warisan pusaka bangsa. Biar ditentang apa jua jangan sesekali kita berpatah, ingatlah jangan kerana kita disergah kita terus melatah. Orang sekeliling ingin melihat dimana letaknya jati diri anak melayu.

Apakah kita ingin ditertawakan oleh orang lain yang sememangnya ingin melihat kita melatah bila disergah. Tiada kemerdekaan tak mungkin dapat kita kecapi segala kejayaan yang kita genggam bersama. Biarpun kejayaan individu yang dilakar atas usaha sendiri mahupun kejayaan kumpulan-kumpulan tertentu. Tanpa satu kebebasan yang mutlak sudah pasti apa yang ingin dilaksanakan mendapat tentangan yang amat memeritkan.

Jumaat, 28 Januari 2011

PENGKIANATAN PAS

1. HUKUM MENGIKUT RASA

PAS tidak konsisten, hukumnya berubah-ubah mengikut kepentingan PAS sendiri. Pada tahun 1963 Dewan Ulama PAS Kelantan telah memutuskan hukuman bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan orang kafir ...memerintah negara menjadi kafir atau haram. Tiba-tiba pada bulan April 1999, PAS bekerjasama dengan Parti DAP, sedangkan parti itu menolak pembentukan negara Islam (Utusan Malaysia 22 April 1999). Nik Aziz bersyukur kerana DAP menerima PAS walaupun menolak negara Islam (Berita Harian 12 Mei 1999).

Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu semasa berucap di Kampung Gong Duek, Besut, Terengganu pada 1 April 1981 antara lain berkata, "orang munafik ialah orang yang mengambil orang kafir buat kawan baik … siapa adik kakak, ambil orang kafir buat kawan baik". (Disambut beramai-ramai "UMNO")…Ha…UMNO… Apa hukum orang ni?…..(Pendengar jawab "Munafiq") dan disambung dengan "Munafiq"

Pada 24 Januari 1999, Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata di Kampung Pulau Melaka, PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti polilik, termasuk DAP dalam pilihanraya umum akan datang, malah katanya dengan syaitan sekalipun beliau terima.

2. PERPECAHAN UMMAH

Mendirikan pusat sembahyang Jumaat berasingan di dalam kariah yang sama (2 Jumaat sekampung), kerana PAS mengeluarkan fatwa bahawa sembahyang berimamkan orang UMNO tidak sah. Perbuatan ini menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam, memutuskan silaturrahim dan putus hubungan karabat atau adik-beradik. Tegasnya PAS telah meragukan ibadat sembahyang bagi ahli PAS sendiri.

3. MEROSAKKAN AMAL IBADAT

Orang-orang PAS yang belum dapat mendirikan pusat Jumaat sendiri, mengambil tindakan sembahyang jemaah berasingan di dalam sebuah masjid seperti Di Gong Pasir, Besut dan Alor Limbat, Marang, Terengganu. Di dalam satu kariah, didirikan dua Jumaat, satu di masjid kariah dan satu lagi di Markas PAS yang dijadikan masjid. Jika tiada markas PAS di sesuatu kariah, ahli PAS di kariah itu akan berjumaat di kariah lain dimana terdapat markas PAS atau masjid yang dikuasai oleh orang PAS.

4. MENENTANG PERLAKSANAAN PROGRAM ISLAM

Program-program Islam bagi melaksanakan Instituis Islam dicemuh oleh PAS, seperti penubuhan Bank Islam, Universiti Islam dan Institusi Islam yang yang lain. Ini dilakukan untuk tidak menampakkan imej Islam pada UMNO dan kerajaan. Mereka menentang perlaksanaan program Islam. Anehnya antaranya pemimpin PAS itu, ada yang merayu supaya anaknya dapat memasuki Universiti Islam dan universiti-universiti lain.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Hadi Awang mensifatkan penubuhan Bank Islam dan pajak gadai Islam yang sedang diusahakan oleh kerajaan tidak kerajaan tidak memberi apa-apa ertipun kepada umat Islam di negara ini.

"Perkara ini hanya sebagai kulit yang berlambangkan Islam sedangkan pemerintahan negara tidak dijalankan mengikut cara Islam". (Harakah - 26 Januari 1983).

5. AMANAT HADI MEMBAWA KESESATAN

Di dalam Fatwa Haji Hadi pada 7 April 1981 (ada rakaman kaset) dinyatakan bahawa sesiapa dikalangan pengikut PAS yang mati kerana melawan UMNO adalah mati syahid, mati Islam, kerana UMNO mempertahankan perlembagaan Malaysia yang dikatakan sebagai peraturan kafir dan perlembagaan penjajah. Pada hal PAS juga menggunakan Perlembagaan yang sama (Undang-undang Tubuh PAS Fasal 6 (II). PAS juga mempertahankan Perlembagaan Malaysia dalam manifesto Barisan Alternatif (1999).

6. PENYELEWENGAN ZAKAT

PAS melawan pihak berkuasa di dalam urusan kutipan zakat dan mengutip zakat di kalangan ahli-ahli dan penyokongnya bagi kepentingan parti itu. PAS juga mengeluarkan fatwa bahawa membayar zakat kepada PAS sah, kerana PAS berjuang Fi Sabilillah. Kutipan itu dibuat tanpa peraturan dan rekod yang kemas. Hak-hak asnaf yang lain tidak dipedulikan.

7. DERMA JIHAD YANG JAHAT

PAS banyak mengutip derma di setiap ceramah-ceramah yang diadakan, tetapi pengurusannya tidak telus. Amanah tidak terpelihara. Ia bukan sahaja salah dari segi undang-undang, tetapi lebih salah dari segi syariat. Amanat Hadi menyebut "Derma kita adalah Jihad".

8. PULAU MEMULAU

Pemulauan sembahyang jenazah, kenduri dan lain-lain lagi yang dilakukan oleh orang-orang PAS terhadap orang-orang UMNO, tanpa menghiraukah hukum-hukum kejiranan dan persaudaraan Islam. Berlakunya perceraian suami isteri kerana berlainan parti dan kubur juga berasingan (di Gong Medang, Tembila, Besut dan di Kampung Cik Long, Setiu).

9. PEMBOHONGAN PAS

PAS mendakwa hendak menegakkan negara Islam. Sebenarnya PAS berbohong kerana dalam Perlembagaan PAS tidak menyebut penubuhan negara Islam Cuma cakap-cakap dalam kempen PAS sahaja.

10. BERGADUH SURUHAN ALLAH

Sebenarnya perjuangan PAS mengharuskan pergaduhan. Haji Abd Hadi Awang selaku Timbalan Presiden PAS telah menyalahtafsirkan ayat 251, surah al-Baqarah dengan kata:

"Kalau Tidak menjadikan manusia ini bergaduh nescaya akan rosaklah muka bumi ini ". Ucapan ini dibuat beliau di Kampung Bukit Kulim, Marang, Terengganu pada 24 September 1980 (Ada rakaman kaset).

11. MEMPERSENDAKAN HUKUM HUDUD ALLAH

PAS telah mempersednakan hudud Allah. Buktinya setelah Hadi Awang menjadi Menteri Besar Terengganu, beliau berkata "Perlaksanaan hukum hudud melalui proses panjang". Apakah ertinya proses panjang sedangkan hudud PAS diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 3 November 1993, dengan nama Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993. Mengapakah tidak memilih jalan pendek dengan menggunakan hudud PAS Kelantan, sedangkan larangan terhadap qariah menyertai tilawah mengikut keputusan Kelantan?

Haji Hadi juga berkata :" Hudud adalah satu aspek daripada 0.001% daripada hukum Islam". Ini bermakna apabila memerintah sendiri hudud yang dibesarkan selama ini diperkecilkan sehingga 1/10,000. (Utusan Malaysia 7 Mac 2000).

Apa yang menghairankan penggubalan Hudud Kelantan dahulu di pengerusikan oleh Haji Hadi sendiri.

12. PAS HINA WANITA

PAS menghina kedudukan wanita dengan mendolak dalihkan hukum terhadap mereka serta tidak menggalakkan mereka bekerja. Mereka tidak dibenarkan menjadi calon tetapi membenarkan pengundi PAS mengundi calon wanita daripada parti lain dalam gabungan Barisan Alternatif. Suara wanita adalah aurat apabila membaca Al-Quran, sebaliknya suara-suara Muslimat PAS dibenarkan berkempen memaki dan mencaci dan bersuara di Dewan Negara. Lebih tidak berakhlak lagi Nik Aziz menyamakan tilawah Al-Quran dengan nyanyian.

"Kerajaan PAS Kelantan akan mengkaji kemungkinan melarang wanita bekerja. Tidak adil membiarkan wanita kerana lelaki dari segi fitrahnya mempunyai tanggungjawab mencari nafkah bagi menanggung kehidupan keluarga," kata Nik Aziz pada 16 Mac 1999 di Kota Bharu.

Pada 20 Julai 1999 Nik Aziz berkata, cadangan kerajaan negeri memberi pekerjaan kepada wanita "kurang rupawan" kerana wanita rupawan biasanya mempunyai suami kaya. Jika wanita rupawan tidak bekerja ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada mereka.

MEMAHAMI KONTRAK SOSIAL DAN KEDUDUKANNYA MENURUT PERLEMBAGAAN MALAYSIA

PENGENALAN
Negara kita merupakan negara yang terdapat pelbagai kaum atau etnik yang hidup harmoni. Ia adalah unik kerana walaupun penduduknya terdiri daripada berbilang etnik namun konflik antara kaum jarang berlaku. Jika berlaku tidaklah sehingga menghancurkan negara.
Di antara masalah utama ke arah kemerdekaan ialah masalah perpaduan. Ia berkait rapat dengan kepelbagaian keturunan, budaya, bahasa dan agama. Setiap kaum mahukan bahasa ibundanya dijadikan bahasa kebangsaan. Di samping itu, kaum-kaum lain berasa bimbang apabila orang Melayu mahukan agama Islam dijadikan agama rasmi. Sementara itu orang bukan Melayu menuntut supaya mereka diberikan kerakyatan.
Sebaliknya orang Melayu mempersoalkannya. Masalah ini bukan disebabkan oleh sikap kaum-kaum yang ada di tanah Melayu tetap hasil daripada dasar pecah dan perintah Inggeris yang mengasingkan mereka dari segi tempat tinggal dan bidang ekonomi. Ini menyebabkan mereka kurang berinteraksi, akhirnya mewujudkan jurang perbezaan dan menjejaskan perpaduan.
 APA ITU KONTRAK SOSIAL?
Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas Hobbes dan John Locke ialah bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya.Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat.
Menurut bahasa, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih.Ia juga boleh bermaksud dokumen yg mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang undang-undang yg berkaitan dgn kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yg berkaitan dgn masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang (perlembagaan) yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. Oleh itu, perbincangan kontrak sosial bagi penulisan ini akan ditumpukan kepada skop perlaksanaannya di Malaysia.
Secara mudah, kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.
Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk negara. Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu, kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha untuk menegakkan keadilan sosial di negara ini. Pengajaran utama yang harus dipelajari oleh kaum bukan Melayu ialah peristiwa rusuhan 13 Mei 1960 kerana mencabar kedudukan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
ELEMEN-ELEMEN KONTRAK SOSIAL MENURUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perlembagaan Persekutuan adalah hasil daripada persetujuan yang tercapai antara penduduk di Malaysia daripada kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Perlembagaan Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah kontrak sosial dan perjanjian perdamaian. Perlembagaan Malaysia merupakan suatu bentuk tolak ansur yang ulung dengan setiap kumpulan memberi sesuatu dan kembali mendapat sesuatu (yang lain).
Ini seperti yang ditegaskan oleh Tunku Abdul Rahman:
“Orang Melayu sedia memberikan hak-hak munasabah dan patut kepada orang-orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang begitu banyak kepada bangsa-bangsa bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang berbudi sebegitu tinggi seperti yang diperbua oleh orang Melayu. Sesungguhnya ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian persekutuan tetapi ia tidak sekali-kali mencegah dan menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kejayaan, dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa Melayu itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf di antara orang Melayu dengan bukan Melayu.”
Beberapa peruntukan yang digubal dalam perlembagaan mengekalkan beberapa elemen penting yang menjadi tradisi sejak zaman sebelum penjajahan British lagi. Para penggubal mengangap elemen-elemen tersebut penting memandangkan peranan yang dimainkan dalam menjaga kestabilan negara terutamanya dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum. Peruntukan itu adalah hasil proses tawar menawar pada asasnya merupakan semangat perjanjian di sebalik pembentukan perlembagaan tahun 1957.
“Sebagai balasan kerana mengendurkan syarat kerana memberi kewarganegaraan kepada orang-orang Melayu, hak-hak dan keistimewaan orang Melayu sebagai peribumi negara ini hendaklah ditulis di dalam perlembagaan dan terdapat juga peruntukan lain yang juga dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bukan Melayu”
Inilah asas yang menjadi perjanjian sosial di antara masyarakat majmuk di Malaysia dengan memberi pengorbanan dalam sebahagian hak mereka dan menghormati hak sebahagian komuniti yang lain demi untuk keseimbangan dalam masyarakat bernegara. Sebahagian besar ciri-ciri utama yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan adalah unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak.
Di mana-mana negara sekalipun, perlembagaan lahir hasil daripada perkembangan sejarah. Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu merangkumi nilai tradisi, politik dan kebudayaan. Elemen-elemen ini yang menjadikan bangsa Melayu selaku bangsa asal yang mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam Perlembagaan bagi mengekalkan keistimewaan mereka. Di antaranya ialah:
  1. KEDUDUKAN RAJA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Beberapa abad lamanya orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Mereka diperintah oleh sultan dan kepadanya diberikan sepenuh taat setia. Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Semasa pemerintahan British pun raja-raja masih dianggap sebagai raja yang berdaulat dan masih lagi mempunyai kuasa bagi hal-hal tertentu bagi negeri masing-masing meskipun mereka dipaksa menerima beberapa triti dengan British untuk menerima penasihat British.
Apabila akhirnya kemerdekaan diberikan kepeda Semenanjung Tanah Melayu, institusi beraja diteruskan tetapi dengan beberapa pindaan supaya dapat disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan kemerdekaan. Raja-raja Melayu menggambarkan ciri-ciri asal negara Malaysia. Ia melambangkan kesinambungan sejarah dan menjadi sebahagian daripada identiti negara. Sebagai sebuah negara Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang berbeza dan unik. Inilah yang mendasari bentuk dan menyediakan isi kepada upacara rasmi negara. Kewujudan sistem beraja dengan sendirinya menekankan ciri-ciri kemelayuan.
Hasil penerimaan sistem raja berperlembagaan, Yang Dipertuan Agong diberi kuasa memerintah Persekutuan tetapi sebagai raja berperlembagaan baginda dikehendaki mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri. Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan dan merupakan salah satu unsur utama daripada tiga unsur utama badan perundangan persekutuan iaitu parlimen.
Disamping itu, Perkara 71 Perlembagaan Persekutun membuat peruntukan bagi menjamin hak seseorang raja untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi seseorang raja dalam negeri itu. Institusi kesultanan dilindungi oleh Perlembagaan dengan cara bahawa tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Malah tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Raja-raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu ianya orang Islam. Yang Di pertuan Agong (yang dipilih daripada kalangan Raja-Raja Melayu) yang mempunyai kuasa pemerintah bagi persekutuan juga adalah seorang Melayu dan Muslim. Perbincangan tentang pemerintahan berja tidak akan lengkap tanpa menyebutkan kedaulatan dan kekebalan (imunity) raja. Perlembagaan memperuntukan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah.
Negara ini masih bernasib baik dengan mewarisi sistem raja-raja yang melambangkan kuasa Islam. Pada masa ini Perkara 3(2) merujuk kepada tiap-tiap negeri dalam persekutuan, Raja atau Sultan adalah ketua agama Islam kecuali Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
2. HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU
Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Peruntukan-peruntukan berkaitan juga terdapat di bawah Perkara 161(A) dan dalam beberapa perlembagaan negeri.
Di sisi undang-undang perlembagaan, erti ”Melayu” ialah seseorang yang memenuhi tiga syarat asas; (i) menganuti agama Islam, (ii) secara lazim bercakap Melayu, dan (iii) menurut adat istiadat Melayu (Perkara 160). Dengan hanya mempunyai sifat-sifat (i) hingga (iii) belum sempurna lagi ke Melayuan seseorang itu di sisi Perlembagaan. Seseorang yang mendakwa dirinya Melayu hendaklah membuktikan juga bahawa dia lahir sama ada di Persekutuan atau di Singapura sebelum hari Merdeka atau dapat membuktikan bahawa dia adalah anak kepada ibu atau bapanya yang lahir di Persekutuan atau di Singapura sebelum Merdeka.
Setelah mengimbas kembali siapa itu Melayu, perlu kini kita amati Perkara 153 yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu yang bumiputera yang termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153. Perkara 153 menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan. Peruntukan Perkara 153 adalah seperti berikut;
Perkara 153 (I): Perezaban quota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu.
(1) Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.
(2) Walau apapun yang terkandung dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini dan di bawah undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang perlu untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan juga untuk menentukan perezapan bagi orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam (lain daripada perkhidmatan awam sesuatu negeri) dan mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan yang seumpamanya atau lain-lain kemudahan khas yang diberi atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa trade atau perniagaan, dan perezapan permit dan lesen itu adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini.
Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang sedia ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu.
Walaupun dari satu sudut peruntukan khas ini seolah-olah bercanggah dengan kesamarataan layanan perlembagaan ke atas semua warganegara persekutuan, namun ia satu pertimbangan untuk menyamakan taraf kaum bumiputera dengan kaum-kaum yang lain khususnya Cina di tanah air bagi menjamin mewujudkan keseimbangan, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan agihan kekayaan khususnya kepada kaum yang masih lemah dan ketinggalan menjelang kemerdekaan.
Kedudukan istimewa orang Melayu ini tidak mutlak. Ia diseimbangkan dengan kepentingan sah kaum lain yang secara amnya termasuklah hak mendapat kewarganegaraan Malaysia menurut peruntukan kewarganegaraan dalam perlembagaan, hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak untuk menggunakan bahasa ibunda dan yang paling penting hak untuk mendapat layanan yang sama rata. Seperti juga kedudukan istimewa orang Melayu, hak-hak ini juga dibatasi oleh beberapa peruntukan dalam Perlembagaan.
3. KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI
Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting kerana ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoroti penduduk (orang Melayu) di Malaysia.
Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan:
“Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”
Menurut Tun Salleh Abbas, Melayu dan Islam adalah dua unsur yang bercantum dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan perlembagaan. Maka adalah menjadi tanggungjawab Yang Dipertuan Agong untuk melindungi orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Islam dan Melayu merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan, maka tugas menjaga orang Melayu termasuk juga melindungi dan menjaga agama Islam.
Orang Melayu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh penulis sebelum ini ditakrifkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai seorang yang menganut agama Islam, yang lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
Maka dengan ini, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa “Islam adalah agama bagi persekutuan” membayangkan apa yang telah dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa, malah sebelum kuasa British masuk ke Malaysia lagi. Semasa penjajahan British, mereka membawa masuk agama Kristian sementara kaum pendatang membawa masuk agama lain seperti Hindu dan Buddha. Oleh yang demikian, menjadikan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan mestilah juga memberikan pertimbangan kepada kepercayaan kaum lain.
Oleh itu, Perkara 3 memperuntukan satu fasal imbangan yang menyebut “tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan“. Malah setiap kumpulan agama juga mempunyai hak untuk:
a) Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri
b) Menubuh dan menyelenggara institusi-institusi bagi maksud-maksud agama atau khairat, dan
c) Memperoleh dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang
Berikutan dengan Islam diterima sebagai agama bagi persekutuan, maka kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai kebebasan, kuasa dan keistimewaan untuk menubuhkan atau menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan untuk mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu. Oleh itu, kerajaan persekutuan dan negeri melalui akta dan enakmen perbekalan tahunan, diberi kuasa untuk membelanjakan wang untuk pentadbiran agama Islam dan undang-undangnya. Peruntukan seumpama itu jelas disahkan oleh Perkara 12(2).
4.  BAHASA MELAYU
Bahasa sentiasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa pertuturannya.
Isu bahasa merupakan salah satu perkara yang dibincangkan semasa perundingan perlembagaan dan proses pembentukannya. Namun isu ini dapat diselesaikan dengan permuafakatan antara kaum. Tan Siew Sin telah menerangkan bagaimana isu bahasa telah dapat diselesaikan:
“Masyarakat bukan Melayu menaruh harapan besar kebudayaan dan bahasa mereka. Biar saya nyatakan sebagai contoh, perlembaagaan Reid sebagaimana rangka awalnya tidak menyebut apa-apa tentang mengekal dan menegmbangkan bahasa Cina dan Tamil atau bahasa-bahasa lain.Apabila dicadangkan kepada pemimpin Melayu bahawa perlembagaan sepatutnya dengan eksplisit menyatakan pengekalan dan perkembangan kedua-dua bahasa Cina dan Tamil hendaklah digalak dan dipelihara, mereka bersetuju”
Maka bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan tidak mengenepikan bahasa lain. Ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan Persekutuan yang menyebut:
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:
Dengan syarat bahawa-
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.
Hipotesis utama disebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa pengantar negara ini sejak dahulu lagi.