Rabu, 26 Januari 2011

DATO' ABD RAHMAN YASIN TOKOH RAKYAT PROFESIONAL JOHOR

Muar banyak mencatatkan kelahiran tokoh pemimpin yang berwibawa. Tidak dapat dinafikan lagi Muar seolah-olah berperanan seperti kilang pengeluar tokoh-tokoh berwawasan yang terkenal. Tokoh tradisional banyak terlahir di sepanjang Sungai Muar hingga ke Segamat. Manakala tokoh-tokoh pemimpin moden terlahir di kawasan bandar merentas ke kawasan yang dulunya terkenal sebagai Padang dan pada hari ini meliputi kawasan pantai ke arah Batu Pahat. Hal ini adalah disebabkan sejarah tamadun Muar adalah antara tertua di Johor. Orang Muar juga amat peka terhadap pendidikan.

Bagi sejarah negeri Johor pula, tokoh-tokoh pemimpin terkenal adalah berasal dari Muar dan Johor Bahru. Dua kumpulan tokoh pemimpin ini pada suatu ketika saling bersatu dan ada ketika yang lain tidak bersefahaman. Namun tiada sejarah mencatat tragedi peperangan akibat salah faham. Sebaliknya sering pula mewujudkan keadaan yang lebih baik hingga kadangkala tanpa terduga langsung.

Pada lazimnya, tokoh kepimpinan Johor Bahru mempunyai sejarah, pengaruh dan pengalaman dan berasal-usul daripada keturunan pembesar tradisional Johor-Pahang. Mereka mewarisi hal-hal kebudayaan dan pentadbiran atau politik Melayu daripada Kesultanan Melayu Melaka. Manakala tokoh-tokoh Muar pula boleh dikatakan berasal-usul daripada keturunan pemimpin pendakwah yang bebas dan mempunyai pengalaman berdagang dan mempunyai pengaruh kebugisan. Dua faktor ini amat menarik diperhatikan kerana latar belakang inilah yang mencorakkan politik Melayu Johor.

Dato’ Abdul Rahman bin Muhammad Yasin ialah salah seorang tokoh Johor yang terkenal dan berwibawa berasal dari Muar. Negara terhutang budi kepada beliau kerana beliau ialah antara tokoh Melayu yang cepat dapat melihat jurang bahaya perpaduan Melayu ketika ditinggalkan oleh Dato Onn Jaafar pada tahun 1951. Beliau dengan segera telah menyusun strategi mengisi kekosongan kepimpinan dan mengemudi hala tuju politik Melayu. Ketika itu keadaan orang Melayu adalah umpama anak ayam sedang bertebaran tanpa ibu dengan sangkar yang kosong. Hal ini dilihat oleh pemerhati politik sebagai suatu keadaan yang amat bahaya kerana kepimpinan Dato’ Onn yang sangat popular dan menjadi tempat orang Melayu yang baru mengenal politik bergantung tiba-tiba mengambil keputusan keluar daripada UMNO untuk menerajui parti yang membuka keahlian kepada bukan Melayu.

Dato’ Abdul Rahman bin Muhammad Yasin yang pada mulanya tidak bersefahaman dengan Dato’ Onn telah segera mengambilalih dan menerajui barisan pelaksana dengan cita-cita untuk merdeka. Beliau melihat peluang ini untuk meneruskan cita-cita beliau memperjuangkan kemerdekaan bangsa Melayu daripada penjajahan Inggeris di luar perspektif kemerdekaan Johor yang diperjuangkan Persatuan Melayu Johor di bawah pimpinannya. Wawasan Dato’ Onn untuk menentang Malayan Union secara menyeluruh adalah dipersetujuinya, tetapi wawasan Dato’ Onn untuk menyiapkan diri dalam pelbagai bidang terlebih dahulu sebelum menuntut kemerdekaan tidak diterimanya.

Dato' Abdul Rahman juga menolak keistimewaan raja-raja yang dianggapnya sebagai candu melemahkan pemikiran rakyat jelata kerana terlalu terikat dan terkongkong dengan tulah dan daulat yang diada-adakan.Mengekalkan kedudukan sultan hanya sebagai lambang dipersetujuinya tetapi mengutamakan keistimewaan, hak dan kuasa raja tidak disukainya.

Pemikiran Dato’ Abdul Rahman pada hakikatnya dipengaruhi oleh latar belakang dirinya yang berpendidikan Melayu ketika membesar dalam kalangan masyarakat birokrat Melayu Padang dan pengaruh pengamatan terhadap kebebasan pentadbiran Inggeris ketika beliau menyambung pelajaran Inggeris di Singapura pada tahun 1890-an. Pada tahun 1895, ketika beliau mula berkhidmat sebagai kerani dalam pentadbiran awam Johor, beliau telah menunjukkan kebolehan yang tinggi sehingga diberi peluang menjadi pesuruhjaya daerah, majistrate dan bendahari negeri Johor. Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan Kesatuan Melayu Singapura yang sedang peka dengan arus menuntut persamaan pengiktirafan dan layanan kepada pegawai dan orang Melayu oleh Inggeris di Singapura. Beliau aktif menyokong pandangan dan debat berkenaan pengiktirafan pegawai-pegawai Melayu yang mempunyai pendidikan Inggeris di Singapura.

Pada tahun 1939, Dato’ Abdul Rahman telah menubuhkan Persatuan Melayu Johor yang memperjuangkan pengiktirafan pegawai Melayu dalam pentadbiran Inggeris. Persatuan ini juga menyokong dan mengutamakan hak-hak keistimewaan Melayu seperti pelajaran, adat dan kebudayaan. Tetapi ia memandang negatif terhadap kealfaan dan kecuaian istana. Pada zaman pendudukan Jepun, Kesatuan Melayu Johor yang diketuai oleh Dato’ Abdul Rahman telah meneruskan perbahasan ahli mengenai hak-hak istimewa orang Melayu. Apabila beliau mendengar ura-ura penubuhan Malayan Union, Dato’ Abdul Rahman telah menggabungkan diri dengan Lembaga Kesatuan Melayu Johor dari Muar yang dipimpin oleh Dr. Hamzah mengadakan demonstrasi membantah usaha Mac Michael mendapatkan tandatangan Sultan Ibrahim untuk menubuhkan Malayan Union.

Apabila Mac Michael berjaya mendapat tandatangan Sultan Ibrahim untuk menubuhkan Malayan Union pada tahun 1945, Dato’ Abdul Rahman mengadakan suatu perjumpaan ramai di Masjid Abu Bakar pada 2 Februari 1946. Beliau dan penyokongnya menentang tindakan Sultan Ibrahim dengan mengeluarkan satu surat bantahan rasmi yang ditandatangani oleh perwakilan 7 orang yang dikenali sebagai Kumpulan Orang Tujuh. Mereka secara bertulis tidak mengiktiraf Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor. Kumpulan 7 yang diketuai oleh Dato’ Abdul Rahman juga membuat kempen dan penerangan kepada rakyat agar tidak perlu taat dan setia kepada Sultan Ibrahim kerana sultan telah melanggar Perlembagaan Tubuh Kerajaan Johor 1895. Dato’ Abdul Rahman ketika itu ialah seorang majistrate kanan dalam perkhidmatan awam Johor berasa berhak memastikan Johor terus merdeka dan bebas mencorakkan sistem pentadbirannya sendri.

Sehubungan dengan itu, banyak ahli Persatuan Melayu Johor telah diugut dengan pemecatan kerja oleh kerajaan Johor kerana dianggap telah menentang sultan dan kerajaan Johor. Persatuan Melayu Johor tidak berdiam diri. Mereka telah mengambil langkah mengedarkan surat-surat kepada orang ramai bagi menerangkan keadaan yang sebenarnya. Keadaan menjadi kecoh apabila sebilangan pegawai kerajaan telah ditahan kerja kerana menyalahi undang-undang kerajaan menyiarkan risalah-risalah kepada orang ramai yang boleh membangkitkan perasaan menentang kerajaan.

Bidasan dan tentangan yang diterima oleh Persatuan Melayu Johor di bawah pimpinan Dato’ Abdul Rahman sebenarnya tidak melumpuhkan semangat pemimpin-pemimpin persatuan ini. Sebaliknya, mereka telah menjalankan kegiatan-kegiatan yang bertujuan untuk menyedarkan orang Melayu tentang pentingnya mereka memainkan peranan dalam keadaan kedaulatan Melayu sedang dicabar. Dalam ucapannya di Masjid Abu Bakar, beliau dengan tegas mengajak masyarakat membuka mata, mara berjuang mempertahankan hak sendiri.

Ketika Dato' Onn mengadakan kongres Melayu , Dato’ Abdul Rahman sendiri tidak hadir dalam Kongres Kebangsaan Melayu 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur kerana kecewa dengan sikap Dato’ Onn Jaafar. Pada saat penubuhan UMNO, Persatuan Melayu Johor yang dipimpinnya tidak ada wakil dalam penubuhan UMNO di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Ini adalah kerana hubungan Dato’ Abdul Rahman dengan Dato’ Onn sentiasa tegang , walaupun Dato’ Onn berusaha mengambil hatinya dengan melantik beliau sebagai Pegawai Kewangan UMNO dalam tahun 1946 dan sebagai wakil UMNO dalam jawatankuasa kerja bagi membubarkan Malayan Union pada tahun 1947.Punca utama ketengangan ialah isu kedaulatan raja Melayu, keengganan menuntut merdeka segera dan bertolerate dengan Inggeris mengenai isu kewargaan pendatang asing.

Dato’ Abdul Rahman merupakan salah seorang daripada 7 orang wakil UMNO dalam Sidang Pleno Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 bagi menggantikan Perlembagaan Malayan Union. Sidang Pleno ini juga dianggotai oleh wakil kerajaan Inggeris dan DYMM Raja-raja Melayu. Sidang Pleno ini telah mengadakan sidang selama tiga bulan dan sidang terakhir diadakan pada 20 November 1946. Antara perkara yang menjadi perhatian dalam sidang ini ialah kedudukan raja-raja, Dewan Undangan Negeri, kedudukan orang Melayu dan kewarganegaraan. Syarat untuk mendapatkan warganegara diperketat. Kedudukan sultan dipulihkan semula. Setiap negeri mempunyai Dewan Undangan sendiri dan orang Melayu diberi kedudukan istimewa.

Selepas Dato’ Onn meninggalkan UMNO pada tahun 1951,Dato’ Abdul Rahman dan penyokong-penyokongnya telah kembali semula dalam UMNO dan dapat menguasai UMNO Johor dan Persekutuan. Beliau telah bekerjasama dengan YM Tunku Abdul Rahman setelah Tunku bersetuju mengutamakan kepentingan rakyat daripada mengutamakan keistimewaan raja-raja Melayu. Dato’ Abdul Rahman berpendapat bahawa raja-raja Melayu telah gagal dan cuai melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat. Raja-raja hanya mementingkan diri dan telah salah menggunakan kuasa yang telah diserahkan kepada pentadbir Inggeris.

Oleh kerana Tunku tidak banyak pengaruh dan sokongan menyeluruh untuk memimpin UMNO, beliau telah memujuk Dato’ Abdul Rahman supaya membantunya. Tunku telah bersetuju dengan syarat yang dikemukakan oleh Dato’ Abdul Rahman untuk tidak mengutamakan kedudukan raja-raja dan juga bersetuju memindahkan ibu pejabat UMNO ke Johor Bahru. Dato’ Abdul Rahman pula bersetuju dengan permintaan Tunku supaya Persekutuan Tanah Melayu tidak menjadi sebuah republik.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Dato’ Abdul Rahman dilantik sebagai Yang DiPertua pertama Dewan Negara. Bersama beliau menyumbang jasa dalam kabinet Tunku ialah anak-anaknya iaitu Dato’ Sulaiman dan Tun Dr. Ismail. Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah memainkan pearanan penting terhadap hala tuju keputusan dan tindakan yang di putuskan di parlimen. Beliau telah memainkan peranan sebagai permerhati yang berkuasa menentukan corak pemikiran dan dasar-dasar di parlimen. Beliau amat mengambil berat tentang kemajuan pembangunan untuk rakyat dalam semua bidang. Beliau sangat peka terhadap isu-isu kesultanan dan sering menggugurkan dari senarai yang akan dibentangkan di parlimen. Ini adalah kerana beliau tidak mengehendaki pengaruh dan kuasa sultan dan raja-raja Melayu yang telah berlalu menjadi masalah kepada dunia moden yang bakal dihadapi. Keistimewaan Melayu difahami untuk rakyat jelata bukan kepada golongan istana yang tidak pernah merasa susah sampai tidak sadar terdapat rakyat marhaen yang menderita.

Dato’ Abdul Rahman telah meninggal dunia pada 24 Mei 1970. Ketokohan beliau selaku pemimpin rakyat berpendidikan tinggi dan professional banyak mempengaruhi pemimpin-pemimpin kontemporari Melayu. Ketegasan dan kejituan beliau membuat keputusan banyak diwarisi oleh anaknya Tun Dr. Ismail yang telah berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia Kedua. Pemergiaannya adalah suatu kehilangan yang besar kepada negara bangsa Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Komen