Rabu, 26 Januari 2011

Bagaimana mewujudkan perpaduan?

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ
“Berpeganglah kamu dengan tali-tali Allah dan jangan kamu berpecah belah.” (Ali Imran: 103) Dapat difahami dari ayat ini, kalau umat Islam mahu bersatu, mereka perlu berpegang pada tali Allah. Kita perlu diikat kepada Allah yang Esa. Apakah tali Allah itu? Ada ulama yang mentafsirkan tali-tali Allah itu sebagai syariat Allah. Maknanya kita umat Islam perlu sama-sama menerima dan mengamalkan segala hukum hakam Allah sama ada yang wajib, yang sunat, yang haram, yang makruh dan yang harus (mubah). Dengan itu hati-hati kita akan terikat di antara satu sama lain. Ada juga ulama yang mentafsirkan tali-tali Allah itu sebagai rasa cinta dan rasa takut kepada Allah. Kalau semua umat Islam sama-sama dapat rasa cinta dan rasa takut kepada Allah, nescaya hati-hati mereka akan sama-sama terikat kepada Allah yang Esa dan mereka akan berkasih sayang dan bersatu padu di antara satu sama lain.
Dalam pada itu perpaduan manusia ada dua bentuk. Ada perpaduan yang berbentuk sementara dan ada perpaduan yang kekal. Perpaduan yang berbentuk sementara seperti kita menghadapi musuh yang sama. Bila musuh sudah tidak ada, kita berpecah semula. Atau kita sama-sama menghadapi sesuatu musibah. Bila musibah sudah tidak ada, kita berpecah. Atau kita sama-sama keluar negara. Semasa di luar negara kita berpadu kerana kita berada di negara orang dan semuanya berbeza dengan adat resam kita. Tetapi setelah kembali ke tanah air, kita berpecah. Hanya ada satu bentuk perpaduan yang kekal iaitu perpaduan yang disebabkan kerana Allah. Allah itu kekal dan sesiapa yang berkasih sayang dan bersatu padu kerana Allah maka kasih sayang dan perpaduan yang dicapai itu akan turut kekal sampai bila-bila.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan